CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, August 17, 2011

Lailatul Qadar

"Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan". (al-Qadar: 3)



Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar". (al-Qadr: 1-5)

Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;

Ia merupakan malam penurunan al-Quran. Menurut Ibnu 'Abbas; penurunan yang dimaksudkan ialah penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-'Izzah yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun.Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal selama seribu bulan (iaitu 83 tahun 4 bulan) yang tidak terdapat di dalamnya malam al-Qadar.Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga datang malam al-Qadar berikutnya. Menurut Imam Ibnu Kathir; "Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya".Malam al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar, yakni; pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan melainkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera. Ada ulama' berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.

Sabda baginda;"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)



Tuesday, August 16, 2011

UNIC & In-Team - Kemuliaan Ramadhan

Ramadhan Bulan Mulia

Dari Abu Hurairah radhiAllahu 'anhu bahawa Rasulullah SallAllahu 'alahi Wasallam bersabda:


"ALLAH 'Azza wa Jalla berfirman: "Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-KU dan AKU yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/ berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya aku sedang berpuasa". Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-NYA, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi ALLAH lebih harum dari bau minyak kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua (2) kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap Tuhannya kerana besar pahala puasa."
[Hadis Riwayat Bukhari & Muslim]


Kelebihan Ramadhan

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup segala pintu Neraka dan diikat segala Syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh Imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi-

4. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

5. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

6. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.




Friday, August 12, 2011

Malam 1000 Bulan


Setiap orang yang beriman sentiasa menanti-nanti saat malam sepuluh (10) akhir Ramadhan kerana padanya terdapat satu malam yang utama yang dinamakan "Malam al-Qadar".

Malam tersebut sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagai malam:

1) Allah turunkan padanya al-Quran (Surah al-Qadar: 1)

2) Beribadat padanya lebih baik daripada beribadat seribu bulan (Surah al-Qadar: 3)

3) Turun padanya para Malaikat dan Jibril ke bumi membawa rahmat, keberkatan, ketenangan dan urusan taqdir Allah yang akan berlaku dalam setahun akan datang (Surah al-Qadar: 4, dan Surah ad-Dukhaa-n: 4,5)

4) Dipenuhi dan diliputi kesejahteraan hingga terbit fajar (Surah al-Qadar: 5)

5) Sesiapa yang beribadat padanya dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan baik/ pahala dari Allah maka diampun baginya dosa-dosanya yang telah lalu (Riwayat al-Bukhari: 2014, Muslim: 760)

6) Terjadi pada malam yang ganjil (Riwayat al-Bukhari: 2018, Muslim: 1167)

Dalam usaha mencari Lailatul Qadar ini banyak khurafat, pegangan yang menyeleweng dan dogengan palsu yang tersebar didalam kitab-kitab dan cerita-cerita tentang alamat/ tanda malam tersebut seperti pokok bersujud, air laut menjadi tawar, anjing tidak menyalak dan lain-lain lagi.

Lebih dahsyat lagi di zaman kita ini tanda-tanda dongeng ini disebarkan oleh agamawan-agamawan yang tidak berdiri di atas disiplin ilmu yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah melalui media cetak dan elektronik. Dengan itu ia terus berkembang den tersebar sepanjang tahun apabila munculnya bulan Ramadhan.

Adalah mustahil malam yang begitu besar kedudukan dan keutamaan ini tidak dijelaskan tanda-tandanya oleh Allah dan Rasul sehinggakan para agamawan boleh mencipta tanda-tandanya. Apa yang pasti Rasulullah S.A.W telah menjelaskan tanda-tanda malam tersebut di dalam hadis-hadis berikut:

Pertama: Hadith riwayat at-Thobaraa-ni (Jilid 22/ mukasurat 59), Soheh al-Jaa-mi' (5472), ad-Dho'iefah (4404) Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

Lailatul Qadar malamnya terang, tidak panas dan tidak sejuk, tiada lontaran tahi bintang dan tanda keesokkan harinya matahari terbit dalam keadaan suram cahayanya.

Di dalam riwayat ini terdapat beberapa tanda:

1) Malamnya terang (yakni langitnya terang, keadaan cuacanya baik)

2) Udara pada malam tersebut tidak panas dan tidak sejuk

3) Tiada lontaran tahi bintang di langit

4) Cahaya matahari keesokannya terbit dalam keadaan suram kekuning-kuningan kemerah-merahan

Kedua: Hadis riwayat at-Thoyaa-lisi (349), Ibnu Khuzaimah (2192), al-Bazzaa-r (1034) Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

Lailatul Qadar malamnya rasa seronok, bercuaca baik, tidak panas dan tidak sejuk serta keesokannya matahari terpancar pada waktu pagi cahayanya lemah kemerah-merahan.

Sementara dalam riwayat ini terdapat satu lagi tanda:

5) Malam tersebut hati rasa seronok, tenang, tenteram, lazat beribadat kerana ramainya jumlah Malaikat yang turun ke bumi.

Demikian tanda-tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W untuk mengenali Lailatul Qadar. Semestinya setiap ummat meninggalkan dongengan para agamawan yang mencipta dan menokok tambah sesuatu yang tidak ada asalnya di dalam agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Mudah-mudahan Allah S.W.T memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang mencintai dan menghidupkan sunnah Rasul-Nya S.A.W.

SEL, 09 OGO 2011 22:55 | ZULHAFIDZ | EDITOR: ZULHAFID